Selamat Datang padamu Teman...

Sunday, July 24, 2011

DERMA DARAH ~ TUBUH RASA SEGAR


JIKA pernah terlintas dalam fikiran anda ingin menyertai kempen derma darah untuk mengetahui status kesihatan diri, padamkan niat anda. Menderma darah perlu ikhlas dengan niat mahu membantu orang yang benar-benar memerlukan dan tidak boleh dijadikan serampang dua mata demi kepentingan diri. Untuk menjadi penderma darah, perkara pertama ialah memastikan anda benar-benar sihat untuk mengelak timbul masalah pada diri sendiri mahupun penerima.

Jika memenuhi syarat layak menjadi penderma darah, tiada sebab untuk berlengah kerana darah anda akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyambung nyawa orang lain. Kalau ada menyatakan menderma darah boleh menyebabkan seseorang menjadi gemuk, usah percaya kerana menurut Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara (PDN), Dr Umi Kalsom Md Ariffin, sehingga kini tiada bukti saintifik dapat menyokong dakwaan itu. Sebaliknya, menderma darah boleh menyihatkan badan kerana badan akan menghasilkan sel darah baru bagi mengganti darah yang diderma.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat antara 115 hingga 120 hari dan dalam tempoh ini ia boleh digunakan untuk menyelamatkan banyak nyawa. Usah takut kita akan mengalami masalah kekurangan darah selepas menderma kerana perkara ini tidak terjadi. Secara semula jadi, badan sentiasa menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang mati (musnah) akibat tua (selepas 120 hari). Apabila kita menderma darah, proses sama berlaku. Badan dirangsang untuk menghasilkan sel darah baru yang secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap kesihatan seseorang penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen. Penderma hanya dibenarkan menderma darah pada jarak masa tiga bulan sekali. Ini sebabnya ramai penderma berasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah. Malah, rata-rata penderma berasa tenang kerana tahu darah mereka dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain.

Selain itu, kecekapan badan penderma menggunakan zat besi akan bertambah kerana garam galian ini diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah baru. Proses ini boleh membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelak masalah pengumpulan zat besi berlebihan pada jantung. “Bagaimanapun, masih ada yang takut untuk menderma, terutama wanita, apabila mendengar dakwaan sesetengah pihak bahawa menderma darah boleh menyebabkan berat badan bertambah. Sehingga kini tiada bukti dapat mengesahkan dakwaan itu, jadi tidak perlu takut untuk menderma jika cukup sihat. “Ramai orang ingat jika ada penyakit mereka tidak boleh menderma darah, tetapi tanggapan ini kurang tepat kerana hanya dalam keadaan tertentu seseorang itu dilarang menjadi penderma,” katanya ketika kempen derma darah kedua anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

Berapa banyak darah yang diambil? Dr Umi berkata, jumlah darah yang boleh diambil daripada seseorang penderma ialah tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah isipadu darah jangkaan. Contohnya jika seseorang individu itu mempunyai berat badan 70 kilogram, jumlah isi padu darahnya dianggarkan sebanyak lima liter. Jadi jumlah darah yang diambil antara 350 hingga 450 mililiter saja. Ini sebabnya individu yang mempunyai berat badan kurang daripada 45 kilogram tidak dibenarkan menjadi penderma kerana jumlah darah dimilikinya hanya cukup untuk keperluan diri.

Proses derma darah adalah selamat. Sebelum menderma, penderma perlu mengisi borang soal selidik untuk mengetahui status kesihatan mereka, diikuti pengambilan tekanan darah (bagi memastikan tekanan darah adalah normal) dan ujian pengenalan jenis darah. Contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling secara peribadi bagi memastikan anda penderma berisiko rendah. Selepas menderma darah, penderma diberi pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru.

“Jangan derma darah jika anda tidak memenuhi syarat menjadi penderma darah, contohnya jika kurang tidur, kerana ia boleh memberi kesan kepada diri. Jika anda demam atau mengambil ubat tertentu seperti antibiotik, jangan menderma darah kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada penerima,” katanya.
Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX — yang semuanya ada kegunaan tersendiri. Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia). Manakala plasma penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah. Plasma darah ini juga diproses untuk dijadikan ‘ubat’ bagi merawat penyakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku.

Individu yang menghidap penyakit juga sebenarnya boleh menderma. Jika tidak pasti mengenai keadaan anda, berbincang dulu dengan doktor. Luangkan masa untuk mengunjungi kempen derma darah kerana di sana ada doktor yang boleh memberi nasihat dan mengenal pasti kedudukan anda.

Dilarang derma
> Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan    hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.
> Pernah mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
> Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
> Pernah mengamalkan hubungan sejenis (homoseks).
> Pernah mengadakan hubungan seks dengan dua-dua jantina (biseksual).
> Pernah mengambil dadah secara suntikan.
Boleh derma
> Berumur 18 hingga 65 tahun.
> Berat badan melebihi 45 kilogram.
> Tahap hemoglobin (kandungan protein dan zat besi) sekurang-kurangnya 12.5 peratus.
> Tidak menghidap penyakit kronik.
> Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.
> Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.
> Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.
Dilarang derma sementara waktu
> Demam (apabila sakit atau demam, darah kita mengandungi banyak sel darah putih — yang boleh memberi kesan kepada penerima).
> Berat badan kurang 45 kilogram.
> Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah (perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu selepas dos terakhir).
> Tidur kurang lima jam.
> Minum minuman beralkohol kurang dari 24 jam.
> Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
> Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
> Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
> Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.

SUMBER: harian metro
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

0 comments:

Post a Comment